Cemerlang bukan untuk cipta rekod ALIMUDDIN Mohd. Dom mengucapkan tahniah pada pelajar cemerlang SPM 2007 Azali Azlan dan Quek Khai Ren atas kejayaannya memperolehi 21 A dan 16 A dalam semua mata pelajaran yang diambil selepas pengumuman keputusan SPM di Kementerian Pelajaran, Putrajaya baru-baru ini.
SATU lagi rekod dicipta apabila Azali Azlan, 18, mendapat 21 A di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 yang diumumkan baru-baru ini. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan, Kedah ini berjaya memecah dominasi kecemerlangan pelajar wanita sejak tahun 2004 iaitu Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17 1A (SPM 2004), Esther Elizabeth Jack 15 1A (SPM 2005), Nadiah Amirah Jamil dan Siti Fatimah Mukhtar masing-masing mendapat 18 A pada SPM 2006. Seorang lagi pelajar cemerlang SPM 2007, Quek Khai Ren, 18, dari SMK Hwa Lian, Mentakab, Pahang berjaya mendapat 16 1A. Manakala pelajar SMK Gelang Patah, Johor, Norlaila Najwa Abdullah, 18, berjaya memeperoleh 16 1A dan tiga 2A. `Saya mengambil 21 subjek bukan untuk memecahkan rekod sebaliknya sebagai hadiah penghargaan kepada guru dan ibu bapa,` kata Azali. Trend mengambil banyak subjek dan berlumba-lumba mengumpul A masih berterusan walaupun tidak digalakkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Namun Azali sememangnya pelajar luar biasa kerana beliau juga merupakan Tokoh Nilam Kebangsaan 2007 di samping aktif sebagai pembahas sekolah. Beliau juga bendahari kepada Lembaga Pengawas sekolahnya. Pelajar cemerlang bukan sahaja diukur dari segi intelek iaitu pencapaian akademiknya tetapi juga jasmani, rohani dan emosinya. Justeru, semua pelajar perlu mencontohi kejayaan pelajar cemerlang ini dari segi usaha, disiplin dan komitmen untuk berjaya tetapi bukan bertujuan untuk memecah rekod semata-mata hingga melupakan aktiviti kokurikulum demi mendapat banyak A. |